Wednesday, 20 July 2011

Kursus Haji Tingkatan Lima




Belajar haji semasa muda


Semua umat Islam menyedari kewajipan menunaikan haji ke Baitullah bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan keselamatan dalam perjalanan. Bagaimanapun, disebabkan peraturan atau sistem kuota yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi, maka bilangan jemaah haji setiap tahun dihadkan.
Langkah itu bertujuan memastikan semua jemaah haji selesa mengerjakan ibadat tersebut. Sebabnya, jika tidak dihadkan, bilangan jemaah haji setiap tahun pasti meningkat dengan banyaknya sehingga menyukarkan beribadat dengan sempurna.

Pada masa yang sama, kuota itu juga memberi masa secukupnya untuk bakal-bakal haji mendalami selok-belok dan hukum hakam berkaitan manasik haji.
Sebabnya, haji biarpun mudah disebut, tetapi adalah ibadat yang paling sukar dilaksanakan kerana memerlukan kefahaman secukupnya selain kekuatan fizikal dan mental.
Atas kesedaran itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading (SMKBG) di Sungai Pelong, Sungai Buloh, Selangor, memperkenalkan Kursus Simulasi Haji kepada pelajar tingkatan lima sekolah tersebut, 9 Julai lalu.

Kursus yang diadakan mulai pukul 8.30 pagi sehingga 1 tengah hari itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai oleh 180 pelajar. Ia dikendalikan dengan kerjasama Tabung Haji (TH), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Ia terbahagi kepada dua iaitu penerangan tentang konsep dan teori ibadat haji yang diterangkan pada sebelah pagi, manakala praktikalnya selama kira-kira dua jam diadakan mulai pukul 11 pagi.

Ceramah dan sesi praktikal disampaikan oleh pembimbing haji, Md. Roslan Mohammad Jaafar yang berpengalaman selama 25 tahun dalam urusan haji dan umrah. Turut serta ialah Pengetua SMKBG, Siti Endon Mohamad Dahlan.
Antara praktikal yang dilaksanakan adalah memakai ihram bagi lelaki, bergerak dari Mekah ke Muzdalifah sambil bertalbiah, mengutip batu di Mina, melontar jamrah, tahalul, tawaf dan saie.
Ketua Unit Pentadbiran TH, Abdul Halim Dolmat memberitahu, kursus itu diadakan untuk ahli Kelab Tabung Haji (Taha) di sekolah-sekolah yang mempunyai akaun simpanan dengan TH.

Katanya, selain itu ia juga bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang pelaksanaan ibadat haji agar memudahkan mereka memahami rukun, wajib haji serta pantang larang semasa ihram dan sebagainya.
"Ini juga adalah antara usaha mempromosi dan memperkenalkan TH kepada masyarakat terutama kepada golongan pelajar sekolah," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Panitia Pendidikan Islam SMKBG, Maznah Redzwan memberitahu, program itu diadakan untuk membantu pelajar lebih memahami pelaksanaan ibadat haji kerana ia termasuk dalam silibus Lambaian Kaabah di tingkatan empat.
Katanya, sebelum ini, kursus yang serupa pernah diadakan, tetapi ia tidak melibatkan simulasi haji yang turut membawa sama modul kaabah dan tempat melontar jamrah.
"Adalah diharap para pelajar akan dapat memahami dan membayangkan keadaan sebenar di Mekah dengan adanya modul-modul dalam kursus ini," katanya.














No comments:

Post a Comment